"Sakitnya Tangan Kena Cengkam!" Suami Ini Kongsi Pengalaman Teman Isteri Bersalin Di Labour Room

"Sakitnya Tangan Kena Cengkam!" Suami Ini Kongsi Pengalaman Teman Isteri Bersalin Di Labour Room | Teman isteri bersalin hospital kerajaan mahupun swasta, tidak semua suami boleh lakukan. Selalunya suami akan doa untuk isteri bersalin tapi yang betul-betul boleh teman isteri nak bersalin dalam labour room, tak semua lelaki boleh lakukan! Ada dikalangan rakan admin beritahu, suami cakap takut, suami masalah mabuk darah, suami ketar lutut dan lain-lain. Eh macam-macam alasan jugaklah. 

Apa yang suami perlu buat selepas isteri bersalin, itu perkara ke dua sebenarnya. Jaga isteri dalam pantang memang patut semua suami lakukan. Tapi, persediaan semasa kelahiran itu juga penting. Persediaan suami sebelum isteri bersalin bukan setakat siapkan perbelanjaan untuk beli barang keperluan bayi, bayar bil hospital dan cari bidan untuk mengurut semata-mata. 

Jangan biarkan isteri bertarung nyawa di dewan bersalin seorang diri! Dalam masa yang sama ketahui juga apa yang patut dan tak patut buat di dalam bilik bersalin tu. Jangan pula mengamuk tak tentu pasal bila lihat isteri sedang sakit. Suami teman isteri di bilik bersalin kena percaya pada kepakaran nurse dan doktor. 

Teman Isteri Bersalin

Apa sebenarnya yang berlaku di dalam dewan bersalin dan apakah peranan suami ketika itu? Inilah perkara yang patut semua suami-suami tahu dan di sini ada jawapannya!

Kisah pengalaman apa yang berlaku di dalam bilik bersalin dari hati seorang suami ini, dikongsikan oleh seorang bapa yang bernama Akhtar Syamir melalui akaun Facebooknya. Apa sebenarnya yang berlaku di dalam dewan bersalin dan apakah peranan suami ketika itu? Mari kita sama-sama baca dan ambil tahu. 

Suami Ini Kongsi Pengalaman Teman Isteri Dalam Bilik Bersalin

Macam biasa, bila isteri sudah datang tanda mahu melahirkan, kena cuba kawal diri dan bertenang. Ambil barang kelengkapan bayi dan isteri, kemudian sama-sama pergi ke hospital. Jika kebetulan itu adalah kandungan isteri yang pertama, sebaiknya jangan sengaja lengahkan masa.

Andainya itu adalah kandungan anak ke dua, ke tiga dan seterusnya, pastikan ada seseorang yang boleh diharap untuk bantu jagakan anak yang lain. Jangan di bawa semua anak ke hospital pula. Memadai sekadar pergi berdua saja dengan isteri untuk masa ini.

Teman Isteri Bersalin

"Suami kepada Cik Nora Azni, sila daftar dan masuk labour room"
Ayat yang dah 3 hari saya tunggu akhirnya kedengaran. Ini kali ketiga dalam hidup, saya akan menghadapi situasi ini.
Kononnya sudah biasa, dalam hati membayangkan nak tenang - tenang je masuk labour room.
Tapi, baru sampai kat pengawal yang jaga dewan bersalin, saya dah terkial - kial nak isi buku pelawat. Tiba - tiba jadi tak reti nak isi ruangan nama, nombor kad pengenalan dan lain - lain. Pengawal tu pun dah pandang semacam je.
Masuk pintu pertama, saya disambut dengan almari baju putih ala - ala baju doktor. Hampir terlupa bab kena pakai baju nie. Baju disarung dengan peluh sejuk yang mula keluar di dahi.

"Ko nie dah kenape? Kawal diri tu sikit", kata saya kepada diri sendiri. Entah kenapa masa ni ada 2 karakter pulak. Haha.. Baju putih yang ketat di ketiak terus saya sarung sambil menuju ke labour room.
Setelah mendapat kebenaran jururawat, saya masuk dan disambut dengan senyuman si isteri. Belum sakit lagi barangkali. Mesti dia lega saya ada.

"Terima kasih abang sebab sentiasa ada dengan sayang", kata isteriku sambil tersenyum manis. 3 kali dah saya di sini. 3 kali juga isteri saya bakal merasakan kesakitan yang amat sangat. Rasa bersalah ada, rasa kesian pun ada. Tangan dia sentiasa saya usap. Dia meminta kebenaran untuk tanggalkan tudung.

Suami Boleh Bertegas, Tak Nak Doktor Lelaki Melainkan Terpaksa

Tadi nampak jugak 2 orang Doktor pelatih lelaki. Awal-awal masuk tadi kami dah pesan dengan nurse yang kami nak Doktor perempuan sahaja. "Boleh, jangan bimbang" katanya.
Kami ditemani dengan bunyi degupan jantung baby dari salah satu alat di dalam dewan bersalin ni. Alat ini namanya CTG. CTG adalah singkatan kepada Cardiotocography, sejenis alat yang dipasang di perut ibu hamil bagi mengesan kadar degupan jantung bayi dalam kandungan dan juga kontraksi (contraction).

Alhamdulillah aktif bunyinya. Mungkin baby pun tengah bersedia untuk keluar.

"Puan nak makan ubat tahan sakit tak?", soal seorang nurse yang baru sahaja masuk.

Kami pun macam terpinga - pinga sebab bersalin sebelum ni memang tak pernah ada orang tawarkan ubat tahan sakit. Rupanya disebabkan jantung baby ok dan bukaan baru 4cm. Dia tawarkan ubat tu sebab kemungkinan lama lagi tunggu dan nanti bila dah mula sakit, tak boleh dah ambil ubat tu.
Sambil berbual-bual, saya urut-urut badan dan usap kepala isteri untuk beri dia selesa. Sedar - sedar dia dah tidur. Ubat dah berkesan la tu.

Aduhhhh.. Sakitnya tangan kena cengkam!

Rupanya "contraction" isteri dah mula. Saya pun mula rekod masa dan jarak masa bila ianya terjadi. Makin lama makin kerap. Makin lama makin panjang. Makin lama nampak makin sakit.
Masa inilah. Memang masa inilah. Kalau tidak datang keinsafan dalam diri, memang hati tu dah mati.

Di depan saya, orang yang paling saya cintai sedang mengalami kesakitan yang amat sangat tanpa saya boleh buat apa - apa pun. Sakitnya sehingga air mata dia mengalir. Bila "contraction" itu berhenti, baru dia lega. Besar sungguh pengorbanan isteri. Fikir saya dalam hati.
Alat sedut gas tu dah macam takde kesan. Kesakitan dah terlalu kuat. Saya panggilkan nurse untuk periksa. Masuk seorang Doktor pelatih perempuan untuk periksa laluan. Baru 5cm katanya. Tapi gayanya macam nak bersalin dah. Lepas Doktor pelatih tu keluar, kebetulan ada nurse lain masuk. Saya pujuk nurse tu supaya periksa balik.
"Eh, dah boleh dah ni. 8cm dah tapi kalau pandai teran boleh je, anak ketiga dah kan?". Datang seorang lagi nurse.

Tapi tiba - tiba masuk dua orang Doktor Pelatih lelaki tadi. Saya terus mintak maaf dan maklumkan yang kami nak perempuan sahaja. Mereka berdua pun faham dan meninggalkan kami berempat dalam tu. Selepas itu saya dan isteri terus fokus.

Sebelum ini kami dah rancang strategi teran yang berkesan

Ini semua hasil daripada apa yang kami lalui semasa anak pertama dan kedua. Antara strategi kami :
1. Jangan angkat punggung. Nanti akan terkoyak.
2. Jangan teran selagi tak dibenarkan nurse. Buang masa dan tenaga.
3. Jangan teran sikit - sikit. Rugi sebab baby akan masuk balik dan keluar sikit je.
4. Teran dengan kuat dan panjang. Biar kurang bilangan teran tapi sepenuh tenaga dan lama - lama. Ini bakal bagi baby keluar dengan cepat dan tanpa sangkut-sangkut.
5. Jangan benarkan nurse buat episiotomi (potong untuk bukaan lebih luas). Saya kena main peranan tegah nurse kalau dia nak potong. Sebab kami yakin kami boleh buat.
6. Set masa bila nak buat "final push". Masa ni ialah masa untuk teran habis - habisan. Saya akan bagitau dia masanya dah sampai bila kepala baby dah keluar.

Dan seperti yang dirancang, situasi yang sama berlaku. Tapi kali ni nurse dah pegang gunting dan nak potong.

Saya tanya "Nak potong apa? Jangan !"

Rupanya nurse cakap nak potong tali pusat sebab takut terbelit. Sebab masa kepala dah nak keluar tu, tali pusat dekat sangat dengan kepala baby.
Bila potong je, terus kepala baby senang nak keluar. Saya pun bagitau kat isteri yang inilah masanya. Dia tarik nafas dalam - dalam dan bersama dengan saya, kami sama - sama keluar suara untuk meneran sepanjang yang boleh.
Nurse pada masa itu sentiasa bagi dorongan positif seperti bagus, pandai dan sikit lagi. Saya pulak berada dekat dengan muka isteri. Hanya dia dan saya je dalam dunia kami sendiri, dia tak dengar dah nurse cakap ke atau bunyi lain. Dia teran, saya pun teran. Ini nampak macam takde ape - ape, tapi sebenarnya amat membantu isteri.
Alhamdulillah, dengan hanya 3 kali teran, Daisy Medina dilahirkan. Saya terus peluk isteri saya dan ucapkan terima kasih dan I love you berkali - kali. Ini juga kali pertama saya tak boleh control tangisan saya. Habis basah pipi dia dengan air mata saya. Syukur sangat segalanya selesai dengan selamat.
Cuma kali ni lepas bersalin, isteri muntah - muntah. Bila ditanya, rupanya ianya kesan dari ubat tahan sakit.
Setelah beberapa ketika menemani dan mengelap muntah isteri dan keadaan sudah tenang, saya diminta tunggu di wad. Perjalanan dari labour room sehingga ke tempat menunggu bagaikan sedang berjalan di dalam taman warna warni. Berbunga - bunga hati saya. Saya rasa masa tu juga kalau diukur, kedalaman lesung pipit adalah yang paling dalam dalam sejarah hidup saya. Hehehe..

Teman Isteri Bersalin

Sebab Kenapa Sangat Penting Suami Teman Isteri Di Dewan Bersalin

Jadi, kesimpulannya di sini. Betapa pentingnya kehadiran suami di dewan bersalin.
1. Jangan biarkan isteri anda hadapi saat bersalin bersendirian. Isteri perlukan orang yang paling disayangi di sisi.
2. Wajib jadi penenang kepada isteri. Waktu itu fikiran isteri tidak menentu.
3. Bantu mana yang patut, urut tempat yang lenguh kerana berjam - jam menunggu.
4. Bantu isteri berkomunikasi dengan nurse. Masa tu isteri tengah sakit, suami yang ada kat situ boleh tolong jawab dan tanya info mengenai keadaan isteri dan baby masa tu.
5. Suami wajib jagakan aurat isteri. Bertegas jika perlu. Berlembut jika terpaksa.
6. Ucapan terima kasih dan penghargaan yang spontan sejurus selepas kelahiran baby adalah amat penting. Isteri baru sahaja melalui satu keadaan yang getir dan amat menyakitkan demi kita. Jangan anggap mudah perkara nie.
Semoga dengan penulisan ini dapat memberi sedikit idea mengenai apa yang berlaku di dalam dewan bersalin. Amat baik buat yang belum pernah atau akan melalui saat seperti ini.

Pasangan Bahagia Tuan Akhtar Syahmi & Puan Nora Azmi

Teman Isteri Bersalin

Kesan Suami Teman Isteri Dalam Bilik Bersalin

Kehadiran suami di sisi isteri saat ingin melahirkan bukan untuk dijadikan tempat untuk isteri mengeluh, mengadu, meraung dan sebagainya. Perkara sebegini tidak patut berlaku.

Kehadiran suami di sisi isteri sebenarnya adalah untuk memberi semangat. Isteri juga akan rasa lebih dihargai. Pengorbanannya saat menanggung sakit yang teramat sangat untuk melahirkan membuatkan segalanya menjadi seakan lebih ringan.
Sakit semasa ingin melahirkan anak kadangkala membuatkan seseorang wanita itu bertindak diluar jangkaannya. Teman isteri nak bersalin perlukan kekuatan mental yang kuat juga. Cubalah sebaik mungkin untuk berada bersama. Rancanglah sehabis baik. InShaa Allah akan dipermudahkan segala urusan.

Sebelum berdepan dengan sakit bersalin, kebanyakan isteri awal-awal buat permintaan nak suami teman masa proses kelahiran. Tetapi, pemberian kebenaran kepada suami untuk menemani isteri ketika bersalin adalah bergantung kepada dasar dan ruang sesebuah hospital. Ada hospital mesra suami, dan ada yang tidak. Boleh start Google untuk pasangan yang sedang menanti kelahiran cahayamata.

Memang Ada Suami Tak Teman Kerana Masalah Mabuk Darah

Buat yang tidak mampu untuk berada bersama isteri kerana tidak tahan dengan darah, janganlah bersedih. Ini adalah perkara yang di luar kawalan. Berilah sokongan serapat yang boleh.

Buat suami yang tidak dapat bersama isteri kerana bekerja, bertabahlah. Ini ujian buat suami dan isteri. Diharap dengan penulisan ini juga dapat anda faham betapa sakitnya isteri dan betapa isteri memerlukan suaminya pada saat itu.

Post a Comment

1 Comments